Latar belakang Pertempuran_Vercellae

Walaupun Rom berjaya menewaskan Cimbri dalam Pertempuran Aquae Sextiae, kedudukan Cimbri masih lagi kukuh. Konsul bersama Gaius Marius iaitu Quintus Lutatius Catulus ditugaskan untuk mempertahankan laluan Alps. Dengan menerima tekanan hebat daripada Cimbri, beliau terpaksa meninggalkan Genting Brenner. Percubaan kedua yang dilakukan oleh beliau untuk mempertahankan Sungai Adige juga menemui kegagalan apabila Cimbri cuba mengepung kedudukannya dan memaksa beliau untuk berundur hingga ke Sungai Po yang lebih selamat dan kukuh. Hal ini membolehkan Cimbri dapat menjarah wilayah yang kaya yang terletak antara Alps dan Sungai Po. Pada masa itu, Cimbri sudah pun mengembara hampir setahun dari Sepanyol ke Itali dan keletihan. Jadi, mereka tidak terkejar-kejar untuk menyerang kedudukan Rom semasa musim sejuk melanda. Marius mengambil peluang ini untuk kembali semula ke Itali. Beliau telah dilantik menjadi konsul sekali lagi.

Pada musim bunga tahun 101 SM, Marius bergerak menuju ke Lembah Po bersama dengan kekuatan seramai 32,000 tentera dan ditambah lagi dengan 20,000 tentera Catulus. Sejarawan moden percaya bahawa Cimbri yang diketuai oleh Boiorix mempunyai 60,000 tentera manakala sejarawan Rom pula mendakwa jumlah mereka mencecah sehingga 200,000 tentera. Cimbri telah mengelak daripada bertembung dengan Marius sepanjang musim bunga dan pada awal musim panas. Marius terus menekan Boiorix hingga ke arah barat laut dalam percubaan untuk memerangkap mereka di sepanjang laluan Alps. Dengan itu, Cimbri tidak dapat lagi melepaskan diri daripada Rom.